Monday 27 January 2014

Jenis-Jenis Perceraian (Talaq) Dalam Islam


Ulama’ telah bersepakat bahawa ikatan perkahwinan akan tamat dengan adanya lafaz talaq sama ada dengan bahasa Arab atau lain-lain, dan sama ada dengan lafaz atau dengan tulisan atau dengan syarat, secara soreh atau secara kinayah. Talaq pada umumnya boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu talaq raj'ie dan talaq ba’in.

Talaq Secara Soreh dan Kinayah

Talaq secara lafaz soreh berlaku apabila suami melafazkan talaq dengan menggunakan perkataan tertentu seperti ‘talaq’, ‘firaq’, atau ‘sarah’ tanpa memerlukan niat suami.

Manakala talaq secara kinayah atau kiasan pula iaitu talaq yang lafazkan oleh suami yang boleh membawa makna talaq atau sebaliknya, seperti perkataan ‘kamu dilepaskan’ ‘kembalilah kepada keluargamu’ dan sebagainya. Lafaz yang dibuat secara kinayah ini memerlukan niat suami iaitu sama ada ingin menceraikan ataupun sebaliknya.

Talaq Raj'ie dan Talaq Ba’in

Talaq raj'ie adalah talaq yang suami berhak merujuk kembali isterinya kepada hubungan perkahwinan tanpa perlu kepada aqad perkahwinan yang baru selagi isteri yang diceraikan itu masih berada dalam iddah walaupun isteri tidak meredainya. Sekiranya habis iddah, maka talaq raj'ie bertukar menjadi ba’in. Oleh itu, suami tidak berhak merujuk isterinya melainkan dengan aqad yang baru. Talaq ba’in dibahagikan kepada dua iaitu talaq ba’in sughra dan talaq ba’in kubra.

Talaq ba’in sughra berlaku apabila suami melafazkan cerai sebelum melakukan persetubuhan yang hakiki. Selain itu talaq ba’in sugra juga berlaku apabila berlakunya tebus talaq (khuluq), talaq yang dijatuhkan oleh Qadi (fasakh) dan juga ilaa’. Manakala talaq ba’in kubra pula berlaku apabila suami menceraikan isteri dengan 3 talaq sama ada dijatuhkan secara berasingan ataupun sekali lafaz dengan tiga talaq. Kepelbagaian jenis talaq yang disyariatkan ini jelas menunjukkan keunikan dan kesempurnaan serta keadilan Islam berbanding agama-agama lain demi menjamin kemaslahatan setiap pasangan dalam sesebuah perkahwinan tersebut.

Perceraian dalam Peruntukan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia

Peruntukan mengenai perceraian di kalangan pasangan beragama Islam turut di peruntukkan dalam Akta dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri. Mengikut pengamalan perundangan Islam di Malaysia, pembubaran perkahwinan boleh berlaku melalui pelbagai cara iaitu talaq, ta'liq, khuluq, fasakh dan li'an. 

 i)          Perceraian Secara Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq. Perceraian jenis ini perlulah dibuat permohonan terlebih dahulu di Mahkamah dan didaftarkan untuk direkodkan. Perceraian secara talaq ini di peruntukkan dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.

ii)         Perceraian Secara Ta'liq

Ta'liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas aqad nikah. Pengamalan perundangan Keluarga Islam di Malaysia mengklasifikasikan perceraian secara ta'liq berlaku apabila suami melanggar ta'liq yang dibuat olehnya semasa upacara aqad nikah. Amalan ta'liq ini walaupun tidak wajib mengikut hukum Syarak, tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak. Hal ini dihujahkan oleh Hakim Tan Sri Mohamed Azmi dalam kes Fakhariah bte Lokman lawan Johari bin Zakaria. Lafaz ta'liq yang dibuat oleh suami semasa upacara aqad nikah ini berbeza mengikut negeri. Peruntukan perceraian secara ta'liq ini turut dinyatakan di dalam Akta /Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri.]

iii)        Perceraian Secara Khuluq

Perceraian secara khuluq merupakan salah satu alternatif perceraian yang turut diperuntukkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam yang diamalkan di Malaysia. Perceraian secara khuluq boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan. Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra, oleh itu ia tidak boleh dirujuk.

iv)        Perceraian Secara Fasakh 

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq. Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi. Peruntukan mengenai fasakh ini turut dinyatakan di dalam undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri.

v)         Perceraian Secara Li'an

Perceraian secara li'an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi. Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li'an, mengikut hukum Syarak di hadapan Hakim Syarie, maka mereka akan difaraqkan. Kesannya kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula. Peruntukan mengenai li'an turut diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri. 

No comments:

Post a Comment