Wednesday 29 January 2014

HAK-HAK WANITA SELEPAS PERCERAIAN



Pengenalan Enakmen Keluarga Islam

Undang-Undang Keluarga Islam adalah kesinambungan daripada kondisi masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan adat resam. Walaupun ia adalah jelmaan daripada Undang-Undang Inggeris pada asalnya, tetapi Undang-Undang Keluarga Islam telah diperluaskan dan diperbaiki serta dikembalikan kedudukan asalnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Fiqh Islam.

Undang-undang keluarga Islam hari ini adalah rombakan daripada fiqh yang memperbaiki kedudukan wanita dan kanak-kanak terutamanya dalam masyarakat moden hari ini. Hal ini dapat dilihat daripada beberapa peruntukan undang-undang yang menyentuh khusus tentang hak-hak mereka. Ini diseliputi hak-hak berhubung dengan kewangan seperti mahar, nafkah, mut’ah, harta sepencarian dan lain-lain peruntukan semasa dalam tempoh perkahwinan dan juga selepas perceraian berlaku.

Perkahwinan di dalam Islam adalah tidak menyentuh mengenai kedudukan peribadi seorang perempuan Islam. Perempuan tersebut mempunyai hartanya dan apa-apa gaji atau pendapatan yang diperolehi atau didapati olehnya adalah kepunyaannya. Dia berhak menuntut atas namanya sendiri hartanya dan kontrak yang diikatnya olehnya.

Akta Perempuan-Perempuan Bersuami 1957 memperuntukan bahawa Akta itu berkuatkuasa di negeri-negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Wilayah-Wilayah Persekutuan berhubung dengan perempuan Islam yang bersuami dan hak harta mereka dan tanggungjawab mereka tertakluk kepada undang-undang Islam dan adat Melayu mengenai perhubungan antara suami isteri setakat mana ia terpakai dan di negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang, dan tertakluk kepada undang-undang Islam negeri-negeri ini dalam semua perkara di mana undang-undang Islam itu terpakai.

Telah diperuntukan bahawa tertakluk kepada Akta tersebut seorang perempuan yang bersuami hendaklah:-

a) berkebolehan memperolehi, memegang dan melupuskan mana-mana harta;

b) berkebolehan menyebabkan dirinya atau disebabkan ia bertanggungan, berkenaan dengan tort, kontrak, hutang atau tanggungan;

c) berkebolahan mendakwa dan didakwa atas namanya sendiri sama ada berhubung dengan tort atau kontrak atau kaedah lain dan berhak kepada semua remedi dan tebus rugi untuk semua perkara;

d) tertakluk kepada undang-undang kebankrapan dan penguatkuasaan penghakiman dan perintah-perintah;

Semua peruntukan ini sama seperti perempuan yang belum berkahwin.Sehinggalah baru-baru ini Akta Perempuan-perempuan Bersuami 1957 memperuntukan bahawa kecuali untuk perlindungan atau keselamatan hartanya, tidak ada seorang suami atau isteri berhak menuntut pihak yang satu lagi bagi Tort. Peruntukan tersebut dimansuhkan dan diperuntukan sekarang bahawa seorang suami atau isteri berhak mendakwa masing-masing mengenai Tort untuk mendapat gantirugi berkenaan dengan kecederaan kepada badan mereka,seperti juga mana-mana dua orang berasingan. (Seksyen 4A ditambah oleh Akta A893 pada tahun 1994).

Berdasarkan peruntukan seksyen 128 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 bahawa seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya, mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.128 (2) Mahkamah boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan bagi harta yang telah ditipu itu.

HAK-HAK WANITA SELEPAS PERCERAIAN

2.1.1        a) Mahar Yang Belum Dijelaskan

Berdasarkan hukum syarak sebarang mas kahwin yang diberikan kepada seorang isteri semasa berkahwin adalah menjadi hak isteri dan tidak boleh diambil balik oleh suami kecuali dengan izinnya, kecuali apabila berlakunya perceraian sebelum berlakunya persetubuhan.

Firman Allah,Surah An-Nisa’ :19

 Maksudnya

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kami menyakiti mereka ( dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang telah kamu kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…..”

Ini menunjukkan bahawa, hak untuk mendapatkan mas kawin atau mahar ini merupakan hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Hak ini juga tidak akan terjejas walaupun berlakunya perceraian. Oleh itu, sekiranya jumlah penuh mas kawin atau sebahagian darinya belum dijelaskan lagi oleh suami, isteri berhak untuk menuntutnya selepas terjadinya perceraian. Berhubung dengan hak ini, Seksyen 59, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 memperuntukkan bahawa, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seorang isteri di bawah Hukum Syarak terhadap mas kawinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila pernikahannya dibubarkan. Ini jelas menunjukkan bahawa, hak-hak isteri yang diceraikan masih lagi boleh dituntut walaupun perceraian telah berlaku, dan suami wajib membayar mahar yang belum dijelaskannya terhadap isterinya.

Disamping itu juga, Seksyen 23 (8) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang membuat akad nikah bersalahan dengan subseksyen (1) hendaklah membayar dengan serta merta jumlah mas kawin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.

b)Nafkah ‘Iddah

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan (adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci ataupun bilangan bulan (al Zuhaily, Wahbah, Al Fiqh Al Islam wa Adillatuh,jil 7,hlm 624)

Dari sudut istilah Fuqaha pula ialah satu masa yang ditentukan untuk menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak tadi.

Pensyariatan ‘Iddah ini adalah untuk di atas perkahwinan yang telah berlalu. Oleh itu, tidak sah seorang perempuan yang bebas lagi mulia untuk berkahwin sebaik sahaja berlaku perceraian kerana ia dikira menghina perkahwinan yang pertama dan juga hubungan yang telah dijalin bersama yang wajib ditunaikan. Ia juga adalah satu waktu yang ditetapkan untuk memastikan kekosongan rahim dari mengandungkan anak. Maka ia boleh berkahwin selepas dari memastikan bahawa rahimnya tadi adalah kosong. Bagitu juga ‘iddah disyariatkan kerana asalnya dalam perceraian adalah talak raj’ie maka semestinya wujud peluang bagi pihak lelaki untuk rujuk kembali kepada isterinya. Maka ‘iddah adalah selama lebih kurang tiga bulan untuk meneliti kembali keadaan dirinya semoga Allah akan menyedarkannya akan sesuatu.

Islam bukan sahaja memelihara hak dan kepentingan wanita semasa perkahwinan, malahan juga selepas berlakunya perceraian, selepas perceraian bekas isteri masih berhak menuntut kewangan daripada bekas suaminya iaitu nafkah ‘iddah. Ini berdasarkan seksyen  60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 yang memperuntukan bahawa tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintah seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. Seksyen 60 (2) menyatakan tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lainnya:-

a)      apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;

b)      apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau

c)      apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke suatu rumah atau tempat lain,

      tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

Selain dari aspek kewangan bekas isteri juga boleh menuntut untuk mendapatkan tempat tinggal semasa di dalam tempoh ‘iddah. Ini berdasarkan seksyen 72 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 yang menyatakan bahawa Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri.Seksyen 72 (2) Enakmen yang sama menyatakan hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam seksyen (1) akan terhenti:-

a)      jika tempoh iddah telah tamat;

b)      jika tempoh penjagaan anak telah tamat;

c)      jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah).

Dan sesudah itu, suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Tempoh ‘iddah seorang isteri yang diceraikan iaitu bagi wanita yang mengandung sehingga melahirkan anak dan bagi wanita yang masih mempunyai kitaran haid iaitu selama tiga kali kitaran haid.

Kadar nafkah

Kadar nafkah yang diwajibkan hendaklah sekadar keperluan dan hajat, menurut keadaan dan kekuasaan orang yang berkewajipan serta menurut adat tiap-tiap tempat, ini berdasarkan hadis nabi riwayat Bukhari dan Muslim:

Maksudnya : Dari Aisyah, Hindun Binti Utbah telah berkata, Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan (suaminya) seorang yang kedekut. Dia tidak memberi kepada saya dan anak saya belanja yang cukup, kecuali saya ambil dengan tidak diketahuinya (adakah yang demikian itu harus bagi saya) Rasulullah menjawab, Ambillah olehmu daripada hartanya sekadar yang mencukupi keperluanmu dan anakmu dengan cara yang baik.

Al Quran surah al Talaq:6

Maksudnya,

Wahai nabi, Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mereka pada masa mereka daapat memulakan ciddahnya dna hitunglah masa ciddah itu dengan betul, serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.

Al Quran dan hadis tidaklah menyebut dengan tegas atau mensyaratkan kadar jumlah nafkah yang tertentu; di dalam al Quran surah al Talaq:6&7 hanya memberi gambaran umum iaitu nafkah cuma diberi sekadar yang patut dan cukup bagi keperluan isteri dan sesuai dengan pendapatan suami. Menurut Imam al-Syafie jumlah maksimum dan minimum nafkah berdasarkan kepada nilai kafarah yang terbanyak iaitu 2 mud ( 2 ½ kg beras sehari) dan kadar terendah iaitu 1 mud ( lebih kurang 1 kg lebih beras). Dan sebaik-baik nafkah ialah yang sederhana, jangan terlalu kedekut dan jangan terlampau membazir sebagaimana  firman Allah yang bermaksud “orang yang berkemampuan hendaklah memberi nafkah mengikut kemampuannya”.

Menurut, Hakim Harussani menyatakan kadar nafkah ‘iddah adalah mengikut kedudukan atas nisbah kaya, miskin dan pertengahan”.

Hukum Nafkah ‘Iddah

Hukum Nafkah adalah wajib berdasarkan al Quran dan juga Sunnah. Di dalam Al Quran telah dijelaskan mengenai nafkah ‘iddah berdasarkan firman Allah Taala dalam surah al-Talak 65:6

Bermaksud:  “Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani ‘iddahnya itu ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka ditempat tinggal itu dan tujuan menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu”.

Hikmah Nafkah ‘Iddah

Setengah fuqaha menafikan adanya hikmah di sebalik pensyariatan ‘iddah kerana ia adalah perkara yang berbentuk ibadah dan tidak boleh difikirkan dengan akal mana dinyatakan oleh Ibn Hazm al Zahiry. (Muhammad Mustafa al Shalabi, 1977, Jil 2, hlm 630) walau bagaimanapun menurut pendapat fuqaha yang lain hikmah pensyariatan ‘iddah boleh simpulkan seperti berikut:-

a)      Untuk memastikan kekosongan rahim supaya tidak bercampur benih kerana pada kebiasaannya perceraian hanya berlaku selepas daripada persetubuhan di mana ia adalah merupakan fitrah manusia. Oleh sebab itulah ‘Iddah sememangnya dikenali semasa zaman jahiliah kemudian Islam datang menetapkan dan menegaskannya selepas daripada menghapuskan segala kemudharatan yang berlaku ke atas kaum wanita.

b)      Menunjukkan kepentingan perkahwinan dan memberitahu manusia bahawa ia adalah suatu perkara yang mempunyai risiko yang mampu merubah kesemua bentuk akad kerana ia merupakan akad perkongsian hidup. Oleh kerana akad itu tidak sah melainkan dengan kehadiran dua orang saksi begitu jugalah halnya ia tidak semestinya berakhir semata-mata dengan perpisahan. Bahkan perempuan yang telah dicampuri itu mesti menunggu satu tempoh yang cukup kepada pasangan suami isteri untuk mengkaji balik segala keputusan sebelum berpisah.

c)      Membolehkan perempuan yang kematian suami menzahirkan kesedihan yang dialaminya kerana kehilangan suami dengan meninggalkan segala perhiasan diri. Ini adalah satu cara untuk menunaikan tanggungjawabnya, kerana bukanlah menjadi satu perkara yang bermaruah seorang isteri bersegera berkahwin sebaik sahaja kematian suaminya sekalipun suami belum mengaulinya. Begitu juga, perbuatannya itu akan menimbulkan kesan buruk kepada keluarga mentuanya itu kerana dapatkah dibayangkan bagaimana seorang isteri boleh menikmati kehidupan yang baru saat keluarga suaminya masih di dalam keadaan yang hiba.

c)Tunggakan nafkah

Dari segi bahasa nafkah bermaksud mengeluarkan dan membelanjakan.Nafkah menurut pandangan syarak ialah mengeluarkan perbelanjaan atau nafkah kepada mereka yang wajib atas seseorang itu menafkahkannya atau mengeluarkan belanjanya, tetapi yang dimaksudkan dengan belanja disini ialah semua hajat dan keperluan yang berlaku mengikut keadaan dan tempat seperti makanan, pakaian, tempat tidur dan sebagainya.

Nafkah wajib dibayar kepada isteri apabila berlakunya perkahwinan selama mana isteri masih taat kepada suami. Nafkah tersebut termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pekakas rumah dan lain-lain lagi menurut keadaan dan adat ditempat masing-masing  berdasarkan juga kemampuan suami untuk menyediakan keperluan tersebut.

Sekiranya isteri taat kepada isteri dan sentiasa menjaga maruah diri dan rumahtangga kepada suami, namun begitu, suami gagal menyediakan makan minum isteri dan keperluan isteri, maka akan menjadi hutang kepada suami untuk membayar nafkah yang tertunggakan tersebut. Isteri tersebut perlu membuktikan di mahkamah bahawa sepanjang perkahwinan tersebut suami telah gagal menyediakan keperluan isteri tersebut selama mana suami gagal membayar akan terbeban ke atas suami untuk menjelaskannya. Ini berdasarkan seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008, yang menyatakan tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya. Seksyen 70 (2) menyatakan tunggakan nafkah yang tak bercagar yang berkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri disisi undang-undang orang itu.

d)Hak Terhadap Mut’ah

Selain dari hak seorang isteri yang diceraikan untuk menuntut nafkah, terdapat lagi hak isteri yang diceraikan untuk menuntut mut’ah. Mut’ah bermaksud pemberian oleh suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut. Ayat  Quran yang menjelaskan tentang wajib member Mut’ah kepada isteri yang diceraikan dalam surah al-Baqarah 2:241,

Maksudnya;

Dan isteri-isteri yang telah diceraikan, berhak mendapat mut’ah (pemberian sagu hati ) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang yang bertaqwa.

Hukum syarak jelas menyebut tentang kewajiapan seorang lelaki membayar mut’ah kepada isteri yang telah diceraikan seperti dalam surah Al Baqarah ayat 236 maksudnya:

“Tidaklah kami bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka, walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mut’ah (saguhati) kepada mereka (yang diceraikan) iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang susah pula menuntut kemampuannya sebagai pemberian saguhati  menurut yang patut lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang yang mahu berbuat kebaikan”.

             Menurut pendapat Imam Syafie, mut’ah itu wajib diberikan kepada isteri samada dia diceraikan sebelum disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau belum.  Ianya perlu dibayar dalam semua bentuk perceraian bagi perempuan yang diceraikan setelah maharnya ditentukan dan pensucian itu berlaku sebelum persetubuhan.

Di dalam Seksyen 58, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 menyatakan “ sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang  perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

            Namun begitu, tiada cara tertentu untuk menentukan kadar-kadar mut’ah, namun begitu, terdapat prinsip umum iaitu sesuatu pemberian hendaklah diasaskan kepada kemampuan suami yang menceraikan isterinya itu serta faktor-faktor lain seperti lamanya sesuatu perkahwinan tersebut.

e)Harta sepencarian

Definisi

Harta sepencarian boleh ditakrifkan sebagai harta sama ada harta alih atau tidak alih yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri semasa kewujudan perkahwinan mereka hasil dari sumber-sumber atau usaha mereka. Harta ini dikenali sebagai harta sepencarian dan menurut Adat Temenggong atau harta carian laki-bini menurut istilah Adat Pepatih.

Di Kedah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008 ada memperuntukkan dibawah seksyen 122 (1)

“Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu  perintah perceraian untuk  memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana asset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana asset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.”

Seksyen 122 (2) menyatakan pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:-

a)      takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau usaha ke arah memperolehi asset-aset itu;

b)      apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

c)      keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan , tertakluk kepada pertimbangan – pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak. Seksyen 122 (3) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz atau apabila membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa asset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagikan antara mereka atau supaya asset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana asset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu. Peruntukan seksyen 122 (4) menyatakan pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:-

a)      takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak, yang tidak memperolehi asset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

b)      keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan asset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh asset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Peruntukkan 122 (5) menyatakan  bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai asset yang diperoleh dalam masa perkahwinan oleh satu pihak termasuklah asset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lain itu atau dengan usaha bersama mereka.

Haji Harussani Bin Haji Zakaria, ketika menjadi Kadi Besar Pulau Pinang menyarankan “bahawa harta sepencarian itu ialah harta yang diperolehi bersama, suami isteri itu hidup bersama dan berusaha bersama, sama ada kedua-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sama ada dibahagi-bahagikan tugas atau tidak”. M.B. Hooker dalam bukunya Personal Laws Of Malaysia menyatakan bahawa harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama suami isteri dalam masa perkahwinan.

Di sini jelas menunjukkan, bahawa harta sepencarian merupakan “harta yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri dari hasil usaha mereka bersama, sama ada mereka berusaha dalam satu bidang kerja seperti sama-sama bekerja membuat bendang, sama-sama bertani, berniaga atau berlainan bidang kerja umpama suami bekerja makan gaji dan isteri pula berniaga atau sama-sama bekerja makan gaji. Hasil dari pendapatan itu dibelikan sesuatu harta tak alih atau harta alih seperti saham dan sebagainya, sama ada harta itu atas nama bersama atau atas nama suami atau isteri, pokoknya ialah mereka hendaklah sama-sama menyumbangkan tenaga atau modal dalam mengadakan harta tersebut dalam jangkamasa bersuami isteri atau dalam tempoh perkahwinan”.

Asas Hukum

Islam merupakan satu agama yang syumul dan lengkap. Kesyumulannya itu, dapat dilihat dalam pelbagai bidang yang berhubung dengan keperluan manusia, di antaranya ialah berkaitan dengan pengurusan atau pembahagian harta. Islam telah meletakkan beberapa prinsip dalam mentadbir harta bagi mengatur serta menjamin kemaslahatan manusia sejagat. Prinsip-prinsipnya itu sesuai diamalkan di setiap tempat dan masa. Di anatara prinsip tersebut ialah harta adalah amanah dari Allah Taala kepada manusia dan mereka hendaklah mentadbirkannya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala sebagai tuan empunya harta tersebut.

Sebagaimana yang dimaklumi harta sepencarian pada asalnya adalah suatu amalan yang bertunjangkan kepada adat semata-mata. Namun ia tidak bermakna bahawa perkara itu tidak termasuk dalam mana-mana kategori hukum. Hal ini disebabkan amalan individu, kelompok, mahupun masyarakat tetap tunduk kepada satu daripada kategori iaitu harus atau tidak harus, boleh atau tidak boleh ataupun yang ketiga, penerimaan dengan pindaan.

Sejarah perundangan sendiri menunjukkan bahawa apabila rasulullah SAW berhadapan dengan persoalan adat (uruf), baginda mengambil sikap berbeza-beza antara satu adat dengan adapt yang lain. Apabila suatu uruf atau adat telah diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya bukan lagi sebagai uruf atau adat, tetapi bertukar menjadi suatu peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.

f)Hak penjagaan anak (Hadhanah)

Wanita yang diceraikan juga berhak untuk mendapatkan hak mengenai penjagaan anak-anak mereka selepas berlakunya perceraian.

Definisi Hadhanah

Hadhanah dari perkataan Arab yang berasal dari perkataan  “ Hadhanah”  yang bermaksud “rusuk” atau “peluk”. Ini kerana, kelaziman bagi seorang ibu apabila ia sedang mengasuh atau mendukung anaknya maka anak tersebut akan dipangku disebelah rusuknya, jika kalimah itu dinisbahkan kepada seseorang, maka ia memberi erti mendidik atau mengasuh atau mentadbir sesuatu.

Dari segi istilah syarak pula, para ulamak membuat pelbagai definisi mengikut pemahaman mereka antaranya ialah:-

a)      Menurut al-Hanafiah, hadhanah ialah “hak penjagaan anak-anak bagi sesiapa yang dibenarkan untuk mendidik/membesarkan kanak-kanak tersebut serta menjaga dan memenuhi segala keperluannya dalam usia yang tertentu”.

b)      Al Syafiiyah pula mendefinisikan hadhanah dengan “keupayaan untuk menjaga/ mengawasi orang-orang yang tidak dapat membezakan atau tidak mampu menjaga diri mereka (seperti anak kecil dan oang gila) serta mendidik dan membesarkan mereka kearah kebaikan dan melindungi mereka daripada bahaya dan kemudharatan”.

c)      Al-Malikiyah pula mendefinasikan “ penjagaan /penyeliaan anak di dalam kediaman (rumah) dengan menyediakan makan.minum, pakaian, tempat tidur serta kebersihan dirinya”.

d)     Al Hanabilah mendefinisikan hadhanah sebagai “menjaga/menyelia budak kecil dan selainya (orang gila) daripada apa-apa yang memudharatkannya dan mendidiknya dengan sesuatu yang mendatangkan kebaikan untuknya”.

Orang Yang Diberi Keutamaan Menjaga Anak

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa hak untuk menjaga atau memelihara anak yang belum mumaiyiz apabila terjadi sesuatu perceraian sama ada perceraian hidup atau mati adalah milik ibu. Ia merupakan satu kesepakatan oleh setiap imam mazhab yang empat, bahkan sudah menjadi ijmak terhadap masalah tersebut.

Hikmah diberikan hak hadhanah kepada ibu kerana golongan tersebut mempunyai sifat mendidik dan mengasuh seperti penyabar, belas kasihan, lemah lembut dan sebagainya yang sesuai dengan fitrah wanita.

KESIMPULAN

            Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008, juga adalah peruntukan undang-undang yang boleh menangani masalah umat Islam di Negeri Kedah selepas berlakunya perceraian, iaitu bagi memastikan pihak-pihak isteri mahupun suami yang telah berpisah mendapatkan hak-hak mereka selepas berlakunya perceraian. Iaitu bagi memastikan bahawa pihak-pihak yang telah bercerai itu mendapatkan hak mereka seperti, bagi isteri boleh mendapatkan kembali mahar yang tertangguh, iaitu mahar yang masih belum dijelaskan oleh pihak suami semasa perkahwinan, nafkah ciddah, mut’ah, tunggakan nafkah dan apa-apa hutang yang dibuat oleh suami semasa di dalam perkahwinan. Di samping itu, kedua-dua pihak sama ada suami ataupun isteri boleh untuk menuntut harta sepencarian yang diperolehi selepas perkahwinan berpandukan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008, begitu juga dengan penjagaan anak selepas berlakunya perceraian. Tuntutan nafkah anak juga boleh di tuntut berdasarkan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008 kepada bapa ataupun waris kanak-kanak tersebut.

           Dengan ini dapatlah disimpulkan, bahawa Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008 merupakan satu undang-undang keluarga yang menjadi panduan kepada orang-orang Islam untuk menangani masalah rumahtangga iaitu sama ada jalan pendamaian kembali pasangan tersebut ataupun dengan jalan pembubaran perkahwinan. Walaupun pasangan-pasangan tersebut dipisahkan setelah tidak dapat lagi menyelamatkan rumahtangga mereka, namun begitu, hak-hak selepas perkahwinan boleh dituntut, secara tidak langsung pihak-pihak terlibat tidak mengalami kerugian harta mahupun kasih sayang anak-anak hasil daripada perkahwinan.

 oleh :
Hasniah Hassan
Pegawai Syariah
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah

No comments:

Post a Comment